Kota Kinabalu: Ketaasuban seorang penjawat awam dengan nombor pendaftaran ‘D3V1L’ bermaksud syaitan membawa padah selepas dia ditahan polis manakala Perodua Vivanya disita dalam kejadian di Kompleks Asia City, dekat sini, jam 2 petang kelmarin.
Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pada operasi khas di Jalan Coastal berhampiran kompleks Asia City selepas anggota polis trafik terserempak dengan keretanya yang diparkir di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran Perodua Viva terbabit adalah palsu.
Pada masa sama, Perodua Viva terbabit turut tidak mempunyai sebarang rekod cukai jalan.
“Operasi khas diketuai Inspektor Sallehuddin Sulaiman dari Balai Polis Trafik Kota Kinabalu itu mendapati nombor pendaftaran D3V1L yang membawa maksud syaitan itu tidak mempunyai sebarang rekod sah dan didapati palsu.
“Pemiliknya ditahan di lokasi itu manakala Perodua Viva berkenaan disita dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, antara alasan diberi pesalah trafik terbabit ialah dia tidak tahu nombor pendaftaran itu salah dan mengakui taasub dengan perkataan berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mempamerkan pernyataan palsu atau sukuan yang diketahuinya palsu. Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Comments
Post a Comment